Pada mulanya Che Yan tidak mahu menyentuh bab-bab kehakiman dan perundangan di Malaysia. Apatah lagi menyentuh sebuah kes yang boleh dikatakan penuh kontroversi. Bukan kerana takut dikenakan tindakan menghina mahkamah, tetapi Che Yan yakin akan sistem perundangan yang diamalkan di Malaysia.
Kontroversi berkenaan kes rogol bawah umur sememangnya telah menjadi buah mulut orang ramai. Ada diantara penyokong pembangkang ingin mengambil peluang untuk menyerang kerajaan Barisan Nasional, terutamanya Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak. Ini adalah kerana pada hemat mereka kerajaan tidak menjatuhkan hukuman yang berat kepada si pesalah.
Oleh kerana ditujah dengan pelbagai tomahan oleh pembangkang, kebanyakkan penyokong kerajaan kelu lidah untuk membela kerajaan. Namun, kita perlu menerangkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah, tiada kena mengena dengan kerajaan pemerintah.
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mengamalkan pembahagian kuasa. Tiga kuasa yang tersebut adalah perundangan, eksekutif dan kehakiman bergerak secara berasingan. Salah satu daripada cabang ini tidak boleh masuk campur dalam apa-apa hal yang dipersetujui di antara satu sama lain. Secara asasnya “separation of powers” atau pembahagian kuasa telah digunapakai untuk memastikan konsep “check and balance” , semak dan seimbang dapat dijalankan dengan sewajarnya.
Nampaknya ramai diantara penyokong pembangkang yang keliru akan hal ini. Kekeliruan ini jelas apabila mereka menyalahkan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan kepimpinan Barisan Nasional atas keputusan kontroversi dua kes rogol bawah umur (statutory rape) yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Kemarahan ini pada pendapat Che Yan adalah normal, kerana hukuman yang dikenakan tampak seperti terlalu ringan. Tetapi untuk menyalahkan pihak eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri adalah satu langkah yang tidak tepat.
Tidak lama dahulu semasa kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihak kehakiman dikatakan telah dikawal oleh pihak eksekutif. Maka timbullah cerita tentang bagaimana pihak eksekutif memperalat kehakiman untuk kepentingan mereka. Tetapi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilepaskan, mereka terus memuji-muji pihak kehakiman.
Kita perlu faham, bukan eksekutif yang perlu dipersalahkan atas hukuman yang dikeluarkan oleh mahkamah. Mahkamah adalah sebuah entiti sendiri yang tidak berkaitan dengan agenda politik mana-mana pihak. Kerajaan tidak mengawal mahkamah, dan mahkamah tidak mengawal kerajaan. Segala keputusan berdiri atas kehendak sendiri, kerana itulah asas kepada konsep demokrasi.
Perlu juga diingatkan bahawa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria telah menyatakan bahawa semakan dan rayuan boleh dilakukan terhadap kes tersebut. Tetapi kerana tidak mahu bertindak sub prejudice beliau tidak mengulas lanjut tentang perkara tersebut.
Pada hemat Che Yan, isu kontroversi ini tidak perlu diulas oleh pihak pembangkang, kerana ia akan menampakkan kebodohan mereka. Apa yang boleh kita buat sebagai rakyat yang inginkan keadilan, haruslah kita berdoa agar pihak Peguam Negara menyegerakan proses rayuan.
 





 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment