بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan
oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan
ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat
mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga
hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari
dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu
Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda,
Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):
((
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي
بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ
عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali
puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya,
nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian
kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis
lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
((
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ
سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan
Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”.
[Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan
Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan
tentang puasa sunat ini.
 Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
((
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ
الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia
mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa
sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa
enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa
selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut
dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari
sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300
hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika
dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam
setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk
memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah
yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan
penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan
berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula
menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna
pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah,
puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk
berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu
sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada
Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas
kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar
enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa
semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita
sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada
tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya
mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt
dilupai”.
Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh:
“Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud
dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari
(pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh.
Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari
puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.”
[Syarah Sahih Muslim 8/56]
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal.
Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari
berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
(
أَنَّ رَسُولَ اللهِ r
نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه
مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri
dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti
puasa wajib pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’
ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam
hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara
terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum
berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa
sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi
ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada
mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah
berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam
Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
]
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ
وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan
amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah
mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]
2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha
Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah
dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa
Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil
bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa
Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah
ra berkata:
(
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ
إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku
tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani)
Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950,
penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan
salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah,
sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak
melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan
beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan
berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa
Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan
hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah
dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang
berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari
bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih
dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.
Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang
itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia
perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat
enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua
lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat
enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah
didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah
Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk
menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu
disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan
keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan
akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat
yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah,
Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan
bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka
kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak
disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim
8/22].
قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك
وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف:
أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب
عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal
puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi
orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181
cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].
3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam
ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan
puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala
tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’,
sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan
puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan
maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa
ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha
sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang
diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara
berasingan. [Lihat:  Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428,
cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa
qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia
mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’
yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut
(pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana
yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi,
khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan
Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan
puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184
cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua
dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.
Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan
berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid
dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke
dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat)
secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT,
memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang
menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih
menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan
Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan
ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’
mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang
lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah
(bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi
Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai
penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada
bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw.
Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan
Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal,
kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan
sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana
sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan
niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
((
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ
مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir
(beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan
baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir
dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt
ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di
bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan
orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
وصلى الله على نبينا
محمد وعلى آله وصحبه
وسلم تسليما إلى يوم
الدين.
Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian.
04 Syawal 1429h- 041008
 


 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment