Meletup dan hangat cerita baru-baru ini, yang mana seorang Ustaz terkenal di tanah air telah dihentam dan dikritik secara berterusan dari pelbagai sudut dan pihak, tidak terkecuali artis-artis yang sudah berhijrah. Maka terlintas dalam fikiran untuk terus mengkaji dan meneliti isu ini agar ia dapat dijernihkan tanpa memburukkan lagi keadaan serta perhubungan antara kita. 
  Ustaz tersebut telah dituduh menyampaikan hadis palsu dan cerita-cerita bohong dalam ceramahnya, malah video tentang ceramahnya juga tersebar luas dalam media sosial seperti Youtube dan Facebook. Jadi, terdapat seorang artis terkenal tanah air, menerusi laman facebook nya, menghentam dan mengkritik ustaz tersebut dan meminta agar kelayakan dan tauliah ustaz tersebut mengajar dan memberi ceramah diselidik semula. Pada mulanya ini tidaklah menjadi isu, tetapi ia menjadi semakin besar apabila orang ramai mula mengongsi apa yang ditulis oleh artis tersebut dan dikutuk hebat oleh hampir keseluruhan rakyat Malaysia.
  Saya memandang isu ini mudah. Setelah meneliti video yang tersebar luas di laman-laman sosial, saya dapati video itu telah diedit, yakni dipotong sekerat-sekerat dan kemudian disebarkan. Saya berpendapat, mungkin ada penjelasan di hujung video tersebut tetapi telah diedit dan dipotong bahagian tersebut, menyebabkan berlakunya salah faham dalam kalangan orang yang menonton mahupun mendengar video tersebut. Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman! jika datang kepadamu seorang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum yang menyebabkan kamu menyesal dengan perbuatan kamu itu"
  Yang kedua, pada hemat saya, tidak perlu untuk menegur dengan secara terbuka, yakni di hadapan orang ramai. Mungkin ramai terlepas pandang perkara ini, maka saya tuliskan supaya kita tidak lagi mengulangi perkara yang sama. Imam as-Syafie pernah berpesan, bahawa "jika seseorang menegurmu di hadapan khalayak ramai, maka sebenarnya dia senang menghinamu. Jika dia ingin menegurmu, dia akan lakukan di tempat yang sunyi." Lihatlah akhlak yang ditunjukkan oleh seorang imam terkemuka. Adab dan perilakunya begitu menyenangkan sehingga orang yang berbuat salah masih lagi diberi penghormatan. Maruahnya masih lagi dijaga. Namun, melihat pada keadaan kita pada hari ini, kita lebih senang untuk menegur secara terbuka, kononnya mahu menunjukkan bahawa kita adalah orang yang prihatin kepadanya. Sedarlah, tidak ada manusia pun yang mahu ditegur di hadapan khalayak ramai, ini hanya membuatkan orang tersebut berasa malu lantas langsung tidak menerima nasihat. Secara tidak langsung ini berkaitan dengan ilmu psikologi dalam mendidik. Alasan yang kita guna, disebabkan dia buat salah di khalayak ramai, maka kita perlu menegurnya di khalayak ramai juga. Ini ternyata sangat salah dan harus diperbetulkan. Kita harus ingat bahawa walaupun mereka telah melakukan kesalahan, namun ini tidak bermakna mereka tidak punyai harga diri untuk dijaga. Bukankah kita disuruh menjaga aib saudara kita?
  Kesimpulannya, jangan cepat melatah dengan salah laku seseorang. Ya, dia mungkin salah, itu tandanya dia cuma manusia biasa. Dia bukan nabi atau rasul yang maksum, terpelihara daripada dosa. 
p/s : Tapi kalau dah tegur banyak kali masih lagi buat salah, nak buat macam mana? DOA. ;)
Menghidupkan Kembali Perjuangan
Posted by Unknown
 Posted on Saturday, April 05, 2014
 with No comments
  Beberapa purnama Che Yan menyepi, hari ini Che Yan kembali. Setelah terabai tentang perjuangan, hari ini tumpuan kita adalah menghidupkan kembali perjuangan. 
  Berbicara soal perjuangan, ia bukanlah satu perkara mudah dan juga bukanlah satu perkara yang terlalu susah. Asal hati berkehendak, maka semuanya akan jadi. 
  Pasti ramai tertanya-tanya apakah perjuangan yang Che Yan juangkan. Perjuangan saya adalah dalam mentamadunkan kembali bangsa Melayu yang sekian lama telah hilang jati diri mereka akibat doktrin dan jarum racun pihak musuh. Kerana racun musuh ini kita bangsa Melayu tidak lagi mampu untuk berdiri dan menentang apa yang salah, dan kita juga menjadi seeperti orang terkena sihir, yang hanya mengangguk dan menurut seperti 'pak turut'. 
  Dan juga jarum-jarum racun ini mula menusuk hati mereka yang bergelar 'pendakwah islam'. Mereka dengan lantang menyatakan bahawa bangsa tidak penting, ia bukan sesuatu yang patut dipertahankan. Saya mula tertanya-tanya dengan diri sendiri, apakah saya yang buta agama, atau memang mereka sudah salah faham tentang kewujudan bangsa? 
 Che Yan bukanlah orang yang mengaji pondok, mahupun belajar sampai ke negara Arab tentang ilmu Islam, tapi cukup untuk saya faham dan tahu segalanya telahpun tertulis dalam kitab suci al-Quran. Bukankah Rasulullah sendiri telah berpesan bahawa, sekiranya kita berpegang pada al-Quran dan sunnah maka kita tidak akan sesat buat selamanya? Jadi, saya ingin memetik sedikit ayat Quran tentang apa yang Che Yan bebelkan ni. Allah berfirman :
"dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main (Surah ad-Dukhan ayat 38)
Allah berfirman lagi;
"....Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,..."  (Surah ali-Imran ayat 191)
  Jadi, Che Yan tak faham kenapa mereka boleh kata yang kewujudan bangsa ini tidak ada kepentingan, sedangkan Allah sendiri telah nyatakan yang Dia tidak akan menciptakan sesuatu tanpa sebab. Bukankah Allah mahu kita berfikir tentang kekuasaan Dia, dan Dia mahu kita mengkaji tentang segala ciptaan-Nya? 
  Che Yan tidak menghalang mereka dari berdakwah tentang islam, tetapi apa yang Che Yan mahukan adalah mereka menyebarkan ilmu sebenar tentang al-Quran. Che Yan tidak mahu bangsa kita terus kehilangan jati diri disebabkan oleh penyebaran fahaman sebegini. Sudah pasti agama adalah prioriti yang paling utama, tetapi pada masa yang sama, pengekalan ciri bangsa juga adalah sangat penting. Jika bangsa adalah sesuatu yang tidak penting, pastinya Allah telah pun melenyapkan atau tidak menciptakan pelbagai jenis bangsa di dunia ini jika tidak ada nilai atau faedah.
  Jadi, renung-renungkanlah. Jangan kita mendengar dan mengangguk, lakukan pembacaan, selidik dahulu maklumat, supaya kita tahu maklumat apa yang boleh diterima pakai, dan apa yang patut dicampak jauh-jauh dari simpanan memori kita. Tak perlu ada skrol 'degree' atau 'master' atau 'PhD' untuk tahu maklumat tu betul atau salah,apa yang kita perlu adalah akal yang mahu berfikir.
 

 
 
 
 
 
 
 
