Home » » Artis Menghina Ustaz?

Artis Menghina Ustaz?

Meletup dan hangat cerita baru-baru ini, yang mana seorang Ustaz terkenal di tanah air telah dihentam dan dikritik secara berterusan dari pelbagai sudut dan pihak, tidak terkecuali artis-artis yang sudah berhijrah. Maka terlintas dalam fikiran untuk terus mengkaji dan meneliti isu ini agar ia dapat dijernihkan tanpa memburukkan lagi keadaan serta perhubungan antara kita. Ustaz tersebut telah dituduh menyampaikan hadis palsu dan cerita-cerita bohong dalam ceramahnya, malah video tentang ceramahnya juga tersebar luas dalam media sosial seperti Youtube dan Facebook. Jadi, terdapat seorang artis terkenal tanah air, menerusi laman facebook nya, menghentam dan mengkritik ustaz tersebut dan meminta agar kelayakan dan tauliah ustaz tersebut mengajar dan memberi ceramah diselidik semula. Pada mulanya ini tidaklah menjadi isu, tetapi ia menjadi semakin besar apabila orang ramai mula mengongsi apa yang ditulis oleh artis tersebut dan dikutuk hebat oleh hampir keseluruhan rakyat Malaysia. Saya memandang isu ini mudah. Setelah meneliti video yang tersebar luas di laman-laman sosial, saya dapati video itu telah diedit, yakni dipotong sekerat-sekerat dan kemudian disebarkan. Saya berpendapat, mungkin ada penjelasan di hujung video tersebut tetapi telah diedit dan dipotong bahagian tersebut, menyebabkan berlakunya salah faham dalam kalangan orang yang menonton mahupun mendengar video tersebut. Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman! jika datang kepadamu seorang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum yang menyebabkan kamu menyesal dengan perbuatan kamu itu" Yang kedua, pada hemat saya, tidak perlu untuk menegur dengan secara terbuka, yakni di hadapan orang ramai. Mungkin ramai terlepas pandang perkara ini, maka saya tuliskan supaya kita tidak lagi mengulangi perkara yang sama. Imam as-Syafie pernah berpesan, bahawa "jika seseorang menegurmu di hadapan khalayak ramai, maka sebenarnya dia senang menghinamu. Jika dia ingin menegurmu, dia akan lakukan di tempat yang sunyi." Lihatlah akhlak yang ditunjukkan oleh seorang imam terkemuka. Adab dan perilakunya begitu menyenangkan sehingga orang yang berbuat salah masih lagi diberi penghormatan. Maruahnya masih lagi dijaga. Namun, melihat pada keadaan kita pada hari ini, kita lebih senang untuk menegur secara terbuka, kononnya mahu menunjukkan bahawa kita adalah orang yang prihatin kepadanya. Sedarlah, tidak ada manusia pun yang mahu ditegur di hadapan khalayak ramai, ini hanya membuatkan orang tersebut berasa malu lantas langsung tidak menerima nasihat. Secara tidak langsung ini berkaitan dengan ilmu psikologi dalam mendidik. Alasan yang kita guna, disebabkan dia buat salah di khalayak ramai, maka kita perlu menegurnya di khalayak ramai juga. Ini ternyata sangat salah dan harus diperbetulkan. Kita harus ingat bahawa walaupun mereka telah melakukan kesalahan, namun ini tidak bermakna mereka tidak punyai harga diri untuk dijaga. Bukankah kita disuruh menjaga aib saudara kita? Kesimpulannya, jangan cepat melatah dengan salah laku seseorang. Ya, dia mungkin salah, itu tandanya dia cuma manusia biasa. Dia bukan nabi atau rasul yang maksum, terpelihara daripada dosa. p/s : Tapi kalau dah tegur banyak kali masih lagi buat salah, nak buat macam mana? DOA. ;)
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Test Footer

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Che Yan Cerita - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger